Windows

Aisyah Tajuddin Mohon Maaf, Tiada Niat Hina Islam

KUALA LUMPUR: Hos stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin, hari ini memohon maaf di atas klip video yang mempersoalkan hukum hudud yang telah menjadi viral di internet kerana menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan orang awam.

Aisyah berkata objektif video tersebut adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan PAS Kelantan dan tidak sekalipun berniat menghina Islam.

“Ianya menyangkut perihal politik, perkataan dan perbuatan ahli politik; dan tentunya tidak sekali-kali mengenai agama.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf bagi nada dan cara penyampaian saya di dalam video tersebut.

“Saya tiada niat untuk mengherdik. Saya tiada niat untuk menghina. Namun kini saya sedar bahawa ianya telah menimbulkan kemarahan.

“Maka untuk itu, saya benar-benar kesal dan memohon maaf. Saya tidak akan pernah, dalam apa-apa keadaan sekalipun, menghina atau mengutuk mana- mana agama apatah lagi agama saya sendiri,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Namun demikian, Aisyah berkata liputan media berkenaan insiden ini telahpun mengaburi maksud sebenar yang ingin disampaikan video ini, yakni untuk menggalakkan wacana yang berlangsung seputar isu keadaan sosio-ekonomi rakyat Kelantan.

“Sejak video tersebut diterbitkan, pelbagai ancaman bunuh dan rogol telah ditujukan kepada saya, keluarga, teman sekerja dan rakan-rakan. Ianya sangat mendukacitakan.

“Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini merupakan pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu.

“Namun, saya juga mendapat dokongan dan sokongan dengan cinta dari pelbagai pihak termasuk rakan dan insan yang tidak saya kenali. Untuk itu, saya sangat bersyukur,” katanya.

Klip video “Projek Dialog BFMKupas” itu yang bertajuk Hudud isi periuk nasi? [KUPAS] dimuat naik di akaun YouTube milik ‘BFM VDO’ dan menampilkan hos itu.

“Akhirnya… mimpi PAS nak melaksanakan Hudud di Kelantan datang menjelma,” kata Aishah dalam video tersebut.

Dalam nada menyindir, Aisyah turut mempersoalkan jika agama boleh menyelamatkan penduduk tempatan dari realiti sosio-ekonomi di dalam video tersebut.

Pihak BFM telah menarik balik siaran video tersebut berikutan maklum balas orang ramai. Ekoran itu, Aisyah menerima ugutan bunuh serta rogol.

BFM Media dan Projek Dialog, dalam mempertahankan Aisyah, berkata beliau hanya merupakan hos pengganti dan bukan hos tetap.

Susulan itu juga pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis kini sedang menyiasat video dan ugutan terbabit. -astroawani

Post a Comment

0 Comments