Windows

Derma Darah | 8 Fakta Menarik

Jika anda mahukan tawaran istimewa yang hebat lagi menguntungkan – dermalah darah dan nikmati pelbagai manfaat demi kesihatan anda. Manfaat ini mungkin menyelamatkan nyawa anda sendiri. Berikut adalah lapan sebab paling utama untuk menderma darah.

8. Mengurangkan berat badan

Rakyat Malaysia memang suka menjamu selera. Tetapi apabila berat badan mula meningkat, anda seharusnya berasa bimbang. Dengan menderma darah, anda membakar 650 kalori dan menghilangkan satu paun berat untuk setiap pain darah yang didermakan. Anda hanya perlu baring sahaja. Cara bijak mengurangkan berat badan tanpa senaman!

7. Pemeriksaan kesihatan percuma

Petugas perubatan di pusat derma darah akan memberikan anda pemeriksaan kesihatan ringkas. Mereka boleh memberitahu anda beberapa petunjuk penting seperti kumpulan darah, tekanan darah, tahap kolesterol, dan banyak lagi. Anda tidak perlu mengunjungi doktor dan membayar untuk mendapatkan pemeriksaan seumpamanya.

6. Wad hospital kelas 1

Jika anda dimasukkan ke hospital untuk apa jua sebab, anda mengharapkan keselesaan semasa menerima rawatan. Di Malaysia, jika anda menderma darah untuk sebilangan kalinya, anda layak menerima rawatan percuma di wad hospital kelas pertama. Syaratnya, anda menderma darah di Pusat Darah Negara atau hospital yang bersekutu dengannya. Sila rujuk jadual lengkap manfaat di sini: http://bit.ly/1uRPetK

5. Vaksinasi Hepatitis B

Ancaman Hepatitis B adalah sangat berbahaya – ia boleh merosakkan hati anda dan merupakan 50 hingga 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding HIV. Kini, 1.4 juta rakyat Malaysia didapati menghidapinya. Ambillah langkah bijak untuk mendapatkan vaksinasi Hepatitis B. Jika anda menderma darah sebanyak dua kali setahun, anda akan mendapat vaksinasi secara percuma! Tawaran ini sah untuk pendermaan darah di Pusat Darah Negara atau hospital yang bersekutu dengannya.

4. Menambah sel darah

Menderma darah mengurangkan jumlah sel darah merah di dalam tubuh anda dan memaksa sumsum tulang untuk menghasilkan sel baru. Ia umpama menekan butang ‘reset’ pada tetapan pelayar Internet anda. Tubuh anda menjadi lebih bertenaga dan dapat berfungsi dengan lebih baik. Suatu ‘pembaharuan’ yang menyegarkan!

3. Mengurangkan risiko kanser

Kanser adalah penyakit yang paling digeruni oleh semua orang. Jumlah kes kanser didapati semakin meningkat di Malaysia, iaitu daripada 32,000 kes baharu pada tahun 2008 hingga 37,400 pada tahun 2012. Risiko kanser meningkat setiap kali kita mengambil makanan yang tidak berkhasiat dan menghirup udara yang tercemar. Tetapi dengan menderma darah secara berkala, anda boleh mengurangkan risiko kanser pada bahagian usus, perut, hati dan tekak. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan pencegahan awal mengelakkan sesalan di kemudian hari.

2. Mengurangkan risiko penyakit jantung

Penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di Malaysia sejak 30 tahun lalu. Namun kita masih ada harapan. Dengan menderma darah, anda boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan penyakit jantung. Begini caranya. Penyakit jantung dikaitkan dengan kandungan zat besi di dalam darah anda. Zat besi yang berlebihan akan menjadikan darah anda pekat dan mengakibatkan kerosakan arteri dalam jangka panjang. Apabila anda menderma darah, anda mengeluarkan zat besi daripada tubuh anda serta mengekalkan kecairan darah yang sesuai untuk kesihatan arteri anda.

1. Menyatukan kita semua

Inilah sebab paling utama untuk menderma darah. Ia mengingatkan kita bahawa sesungguhnya kita semua adalah sama. Kepelbagaian budaya dan perbezaan sosial bukanlah menjadi satu faktor apabila berhadapan dengan kecemasan, terutamanya yang melibatkan rawatan perubatan.

Post a Comment

0 Comments