Lokasi : Pasar malam Kamunting bersebelahan stesen bas |
KUALA KANGSAR - Syarikat perusahaan kecil dan industri (PKS), Lambaian Rizki Entreprise memperkenalkan produk baharu berasaskan kopi, Kapucino dan Kopi O dalam bentuk uncang dalam usaha mempelbagaikan produk pilihannya di pasaran tempatan.
Pengusahanya, Mohamad Ramli berkata, syarikat yang popular dengan jenama Mat Rezeki itu sebelum ini hanya mengeluarkan serbuk kopi secara tradisional yang mana ia dihasilkan melalui resipi keluarga secara turun-temurun.
"Sejak diperkenal kira-kira sebulan setengah lalu, sambutan terhadap kedua-dua produk tersebut amat menggalakkan.
"Biarpun produk diproses dalam bentuk uncang tetapi kami tetap mengekalkan resipi keluarga bagi menjamin keaslian dan mutunya," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mohamad menerangkan, dalam usaha meningkatkan imej dan kualiti produk seiring dengan keperluan pasaran, syarikat telah menyertai program usahawan Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
"Produk keluaran syarikat kini memiliki piawaian yang ditetapkan SIRIM dan kami juga memiliki sijil pengesahan halal, kod bar dan label nutrisi.
"Melalui usaha ini kami yakin jualan syarikat akan terus bertambah pada masa depan," ujarnya.
Beliau berkata, Kapucino dan Kopi O masing-masing dibungkus dengan kandungan 20 uncang dijual pada harga RM23 setiap satu.
Selain itu, jelasnya, selain dalam bentuk uncang, Lambaian Rizki juga masih menjual produk asas syarikat iaitu serbuk kopi yang ditawarkan dalam dua pilihan iaitu kopi kasar atau kopi halus yang dijual pada harga RM15 sekilogram.
0 Comments