Windows

Gadis Jepun ke Malaysia Kerana Islam

Kefasihannya berbahasa Melayu memang mengagumkan. Gadis manis ini membuat penulis tersenyum dan berasa bangga apabila mendengar dia berulang kali mengakui jatuh cinta dengan bahasa Melayu. Setiap soalan yang dilontarkan penulis, dijawab dengan teliti untuk mengelakkan kesilapan.

Kali pertama bertentang mata dan beramah mesra dengan Nur Arisa Maryam Abdullah atau nama sebenarnya Arisa Sakamoto, 22, dari Tokyo, Jepun, penulis dapat melihat sisi peribadi menarik yang dimiliki anak muda ini.

Dia yang mesra disapa Arisa tinggal di perkampungan Higashikurume di Tokyo. Pertemuan diatur di rumah ibu angkatnya, Mariam Yahya, yang dipanggil Ummi di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Ummi Mariam memiliki pusat pengajian Nur Al-Quran dan menawarkan pengajian al-Quran yang dibuka secara percuma kepada golongan susah.

Tampak manis mengenakan jubah longgar bersama lilitan tudung rona merah jambu yang sederhana. Namun, kesederhanaan itulah yang menyerlahkan kemanisan dan kelembutan wajah gadis berkulit mulus ini.

Ternyata, kelembutan wajahnya seiring dengan tutur katanya yang santun dan sangat berhati-hati. Pelajar tahun empat jurusan Bahasa Melayu di Tokyo University of Foreign Studies ini sanggup terbang jauh ke Malaysia untuk memenuhi tuntutan agama yang sudah disemat kemas dalam hatinya.

Ya, tujuan utama kedatangannya ke Malaysia untuk belajar mengenai Islam yang baru dia dianutinya pada 17 Januari lalu. Ini kerana di tempat tinggalnya di Higashikurume tidak banyak masjid dan guru agama untuk dia belajar agama Islam dengan lebih mendalam. Malah, perjalanan ke masjid terdekat saja melebihi satu jam.

Sebelum mengenali Islam, Arisa sama seperti penduduk Jepun lain yang menganuti fahaman Shinto dan menjadikan agama sebagai ikutan serta budaya saja. Ia tidak meresap ke dalam jiwa.

“Sebenarnya, saya mengambil jurusan ini (Bahasa Melayu) untuk memenuhi keinginan ibu. Ibu yang sangat suka Malaysia kerana katanya selepas menonton sebuah rancangan di televisyen, dia dapati negara ini sangat menarik. Ketika itu saya sendiri tidak tahu pun di mana letaknya Malaysia apatah lagi mengenai Islam.

“Permintaan ibu itu saya terima dengan hati terbuka. Malah, ibu juga yang menyarankan saya mengambil jurusan Bahasa Melayu. Ibu benar-benar bersungguh mahu melihat saya pandai berbahasa Melayu,” kata Arisa lembut, memulakan bicara.

“Tidak sangka, selepas beberapa bulan, saya sendiri jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan Malaysia. Pada tahun pertama pengajian, saya berpeluang mengunjungi Johor di bawah program yang diatur pensyarah untuk mempelajari agama, budaya dan bahasa.

“Walaupun saya sangat meminati Malaysia, ada kosa kata yang masih belum difahami dan perlu sentiasa belajar serta mengamalkannya untuk bercakap dengan lebih fasih,” katanya.

Hadiah al-Quran terjemahan versi Jepun

Dulu dia sering salah anggap, malah melihat agama Islam bukan yang terbaik untuk dirinya disebabkan berita negatif yang sering dipaparkan di media ketika itu.

Namun, selepas mengenal Islam dan Malaysia, tanggapan buruk itu berjaya disingkirkan. Perjalanan ‘manis’ bermula tahun lalu apabila buat kali pertama dia berkunjung ke masjid di Tokyo bersama rakan berbangsa Melayu. Di situlah juga kali pertama Arisa melihat orang mendirikan solat.

Ia pengalaman yang sangat mengujakan dan selepas itu Arisa sering mengikuti rakannya beragama Islam untuk melihat sekali gus mempelajari mengenai cara solat.

Pada masa sama, dia cuba memahami dan mengingati bacaan surah al-Fatihah. Walaupun Arisa mengakui tidak tahu langsung mengenai bahasa Arab, dia menggunakan teknik mendengar dan mengingat untuk mempelajari surah berkenaan.

Selama dua tahun dia cuba sedikit demi sedikit hingga mampu membaca surah al-Fatihah dengan lengkap. Dalam tempoh itu dia juga belajar berpuasa dan desakan hati untuk mendalami Islam sekali lagi membawanya ke Malaysia pada cuti musim panas tahun lalu.

“Ketika itu, saya tinggal di rumah rakan di Kajang dan cuba mengamalkan cara hidup Islam dengan memakai hijab serta melakukan solat selama sebulan.

“Perkenalan dengan Ummi Mariam berlaku secara tidak sengaja. Kami bertemu ketika saya mengunjungi masjid Putrajaya. Pertemuan kami amat singkat kerana cuti musim panas sudah tamat dan saya terpaksa pulang ke Jepun.

“Pada masa itu, saya masih belum bersedia menjadi umat Islam. Belum dapat hidayah lagi. Namun, hati saya tersentuh apabila menerima al-Quran terjemahan pemberian Ummi Mariam selepas pulang ke Tokyo,” katanya.

Ketika berkunjung ke masjid Putrajaya, dia pernah membaca al-Quran terjemahan versi bahasa Jepun dan meminta Ummi Mariam mencarinya untuk dibaca ketika berada di Tokyo.

Malam 16 Januari 2015, Arisa terharu dan menitiskan air matanya kerana dia akui al-Quran menjawab segala persoalan yang selama ini membelenggu dirinya.

Selepas mendapat jawapan yang dicari dalam al-Quran, dia terus menelefon rakannya yang beragama Islam untuk mengetahui cara mengucap kalimah syahadah.

Rakannya mengajak Arisa ke masjid di Tokyo untuk berjumpa orang yang lebih mahir dan dia bersetuju pergi tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

Kira-kira 20 rakan beragama Islam menemaninya di masjid untuk memberi sokongan dan menyaksikan Arisa mengucap dua kalimah syahadah seterusnya menjadi umat Islam.

Ibu pembantah dan pendorong

“Saya tidak memberitahu ibu dan adik mengenai keputusan yang dibuat hinggalah saya memeluk Islam. Malam itu, saya memberanikan diri memberitahu keluarga mengenai keputusan yang dibuat.

“Ibu tidak dapat menerimanya kerana dia bimbang jika saya akan pergi meninggalkannya selepas menukar agama. Lebih menyedihkan, ibu tidak mahu menganggap saya sebagai anaknya lagi.

“Namun, satu-satunya adik perempuan yang berusia 20 tahun memahami hasrat saya dan cuba membantu menerangkan situasi berkenaan kepada ibu.

“Saya bersyukur akhirnya secara perlahan-lahan ibu dapat menerima keputusan saya ini,” katanya.

Setiap hari, Arisa akan menjelaskan secara terperinci kepada ibunya mengenai pemakaian hijab dan sebab mengapa dia tidak boleh menikmati hidangan mengandungi daging babi.

Kalau dulu ibunya membantah, kini dia banyak membantu Arisa memberi idea untuk memakai tudung. Bahkan ibunya juga belajar mengenai pemakanan umat Islam dan menyediakan hidangan untuk anak sulung kesayangannya itu.

Lebih menggembirakan hati Arisa apabila ibunya membenarkan dirinya mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam. Pada masa sama, kebanyakan rakan senegaranya mula menerima dirinya yang beragama Islam secara perlahan-lahan. Malah, ada rakan yang mula berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama Islam.

Ujarnya, imej agama Islam semakin baik di Jepun, namun ia masih belum meluas seperti di Malaysia. Namun, hatinya masih dihambat pilu kerana belum mampu mengenakan hijab sepanjang masa di negara sendiri atas pelbagai kekangan.

Semangat untuk mempelajari agama Islam terus membara, apatah lagi selepas merasakan perubahan pada diri sendiri. Kini Arisa seolah-olah menjadi orang baru dan tidak lagi cepat marah seperti dulu. Dia mengakui lebih sabar dan boleh menga­wal kemarahan. Bahkan ujian yang datang dihadapinya dengan perasaan yang tenang.

“Sekarang saya tahu, Allah sentiasa ada untuk melindungi hambanya di mana juga kita berada. Saya bersyukur dapat menjalani kehidupan sebagai umat Islam pada usia muda,” katanya.

Ditanya mengenai ujian yang bakal dihadapi apabila memasuki dunia pekerjaan awal bulan ini, Arisa tersenyum. Ia ujian yang besar kerana syarikat tempatnya bekerja tidak membenarkannya berhijab. Namun, Arisa sentiasa berdoa agar diberi kesabaran dan bersedia menerima setiap ujian. Dia tahu, doa itu senjata orang mukmin yang menjadi penguat hati dan sema­ngatnya. – HMetro

Post a Comment

1 Comments